Antara nikmat yang wajib untuk kita syukuri adalah nikmat perutusan Nabi Muhammad S.A.W. Tanpa Baginda, maka kita tidak akan dapat mengecapi nikmat Iman, Islam, al-Quran dan sebagainya. Baginda diutuskan Allah untuk memperkenalkan kita dengan nikmat-nikmat tersebut seterusnya mengajar kita agar mengecapi nikmat-nikmat tersebut dengan menghayatinya dan mengamalkannya. Antara nikmat-nikmat itu ialah nikmat Islam. Allah berfirman di dalam surah Ali Imran, ayat 19: Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah adalah Islam.
Kita semua sedia maklum bahawa Islam adalah agama yang benar. Kebenarannya terserlah pada setiap ajarannya yang lengkap, abadi, sempurna, menyeluruh dan indah. Islam adalah agama yang mengatur kehidupan manusia sejagat. Islam adalah rahmat dalam segenap aspek. Tiada sesuatu pun yang terkecuali melainkan pasti dilitupi oleh nikmat dan rahmat Islam. Islam merangkumi setiap sudut kehidupan, yang kecil mahu pun yang besar. Islam itu ialah Negara dan Tanah Air atau ianya adalah Kerajaan dan Umat. Islam itu ialah Akhlak dan Kekuatan atau ianya adalah Rahmat dan Keadilan. Islam itu ialah Kebudayaan dan Perundangan atau ianya adalah Ilmu Pengetahuan dan Kehakiman. Islam itu ialah Material dan Dana atau ianya adalah Usaha dan Kekayaan. Islam itu ialah Jihad dan Seruan Dakwah atau ianya adalah Ketenteraan dan Ideologi. Sebagaimana Islam itu adalah Akidah yang Benar dan Ibadah yang Sohih. Oleh itu, Islam itu adalah semua dan semua itu adalah Islam. Sama sahaja. Tidak boleh dipisah-pisahkan. Andai dipisahkan, pasti akan ada kepincangan dan kecacatan.
Itulah nikmat Islam. Ajarannya yang lengkap adalah nikmat. Kesempurnaannya tidak dapat disangkal. Keabadiannya telah dijamin. Cengkamannya kukuh namun lembut dan penuh hikmah kebijaksanaan. Keindahannya memukau mata bahkan membuatkan akal terpinga-pinga kehairanan. Islam bukan akhirat semata, bahkan ia adalah dunia jua. Islam bukan hanya untuk rohani, namun juga untuk jasmani. Islam bukan fantasi, tetapi ia adalah realiti. Islam adalah seimbang dalam setiap aspek. Bukan iman pada yang ghaib semata, tetapi tetap sesuai dengan logik akal.
Jiwa yang sihat, akal yang waras dan fitrah yang murni pasti mengakui bahawa Islam adalah agama yang benar. Kebenarannya jelas, nyata, terang tanpa boleh disangkal lagi. Mereka yang menyangkal kebenaran Islam atau beriman kepada sebahagian ajarannya tetapi meninggalkan sebahagian ajarannya yang lain tidak lain adalah kerana ianya lahir daripada jiwa yang sakit, akal yang bingung atau gila dan fitrah yang telah tercemar dengan najis-najis kufur dan nifaq. Tiada hidup melainkan dengan Islam. Tiada mati melainkan dengan Islam juga. Tiada nikmat melainkan dengan nikmat Islam jua. Nikmat yang tidak berpaksikan Islam adalah nikmat yang menipu semata. Ideologi yang tidak dipetik daripada petunjuk Islam adalah sesat belaka. Namakanlah apa saja ideologi tersebut, jika ia bukan berpandukan petunjuk Islam, pasti merosakkan. Kerana itu Allah I berfirman: Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka ianya sekali-kali tidak akan diterima dan di akhirat kelak dia termasuk dalam golongan yang rugi. (Ali Imran: 85)
Oleh itu, sahabat-sahabat! Hayatilah keindahan Islam, rasailah keagungan, kehebatan dan kebesarannya. Syukurilah setiap nikmat yang terdapat di dalamnya bahkan nikmat Islam itu sendiri. Sebarkan Islam bahkan pertahankan Islam kerana balasannya adalah syurga dan keredhaan Allah Taala. Lebih-lebih lagi kita yang dimuliakan Allah sebagai penuntut ilmu-ilmu Islam, lebih patut untuk kita bersyukur dengan nikmat Islam. Sedarlah, Islam tidak pernah lemah tanpa kita, namun kita pasti lemah, gagal, kecewa dan binasa tanpa Islam kerana Islam itu Tinggi dan tiada sesuatu pun yang boleh menandingi ketinggian Islam walaupun seinci! Ini adalah artikel yang nampak biasa, namun renung-renungkan lah..
(( Disunting : MOHD KHALID RAHMAT ))
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
0 ulasan:
Catat Ulasan